Thursday, July 29, 2010

Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU 'Salafiyah Wahabiyah'

Sumber asal : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/SWSP/E5.htm


Pembongkaran Jenayah Ilmiah BUKU 'Salafiyah Wahabiyah'

73 Penilaian Semula ke atas Penilaian Zamihan Mat Zin al-Ghari

oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

Bab E: al-Tafwidh dan persoalan “Di manakah Allah ?”



PENILAIAN SEMULA NO: 66



Membahas “Di mana Allah ?” di sisi al-Shafi‘i.



Penyusun Salafiyah Wahabiyah dari ms. 88-90 telah menerangkan kelemahan para perawi yang terdapat dalam sanad yang menyebut kata-kata al-Shafi‘i: “……Allah S.W.T. itu berada Di Atas ‘Arasy Di Atas langit–Nya……” Sekalipun benar penilaian penyusun Salafiyah Wahabiyah ia tidak membawa apa-apa erti kerana diketahui prinsip dasar al-Shafi‘i terhadap nas-nas al-Sifat adalah sepertimana yang beliau tegaskan dalam kitabnya al-Risalah:[1]



والحمد لله ...... الذي هو كما وصف نفسه، وفوق ما يصفه به خلقه.



Segala puji bagi Allah ……Dia adalah seperti yang disifatkan terhadap diri-Nya dan Dia mengatasi dengan sifat-Nya atas makhluk-Nya.



Selain itu sebagaimana Abu Hanifah, al-Shafi‘i juga telah menerima hadis pertanyaan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada seorang hamba wanita: Di manakah Allah? Hamba itu menjawab: Di langit. Baginda bertanya lagi: Siapakah saya ? Hamba itu menjawab: Anda Rasulullah. Maka bersabda baginda: Bebaskanlah dia.[2] Kerana itu al-Baihaqi telah berkata:[3]



والآثار عن السلف في مثل هذا كثيرة. وعلى هذه الطريق يدل مذهب الشافعي رضي الله عنه.



Dan terdapat banyak athar yang seumpama (tentang keberadaan Allah Di Atas ‘Arasy Di atas langit) daripada generasi al-Salaf. Dan atas jalan inilah dijadikan dalil oleh Mazhab al-Shafi‘i radiallahu ‘anhu.



Disebut dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 90:



Riwayat yang disandarkan kepada Imam al-Shafi‘ie ini juga telah dimuatkan oleh al-Albaani di dalam kitabnya “Mukhtasar al-U’lu” (m.s. 176). Mereka menonjolkan perawi dengan gelaran yang hebat. Tetapi mereka tidak mendedahkan latar belakang perawi tersebut. Bagi saya, pendekatan al-Baani juga tidak boleh diterima kerana tidak didasarkan dengan keilmuan. Maka berhati-hatilah dengan sandaran yang tidak berasas ini. Semoga Allah memberi kita hidayah-Nya.



Penilaian semula:

Dalam kenyataan di atas terhimpun beberapa pendustaan:



Pertama:

Muhammad Nasr al-Din al-Albani bukanlah pengarang asal kitab al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar, ia adalah karangan Shams al-Din al-Dzahabi (748H). al-Albani hanyalah meringkaskannya, kerana itu judul kitab tersebut di sisi al-Albani adalah Mukhtasar al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar. Oleh itu yang “memuatkan” riwayat kata-kata al-Shafi‘i adalah al-Dzahabi dan bukannya al-Albani.



Kedua:

Al-Albani tidak memberi sebarang komentar ke atas kata-kata al-Shafi‘i yang dimaksudkan apatah lagi untuk mengemukakan apa-apa gelaran yang hebat kepada kedua-dua perawi tersebut. Sebenarnya jika dikaji kitab Mukhtasar al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar (Maktabah al-Islami, Beirut 1991), ms. 176, riwayat no: 196, akan didapati bahawa gelaran tersebut asalnya diberikan oleh al-Dzahabi. Berikut disalin apa yang dimaksudkan sebagai “gelaran yang hebat”:



روى شيخ الإسلام أبو الحسن الهكاري, والحافظ أبو محمد المقدسي بإسنادهم إلى أبي ثور وأبي شعيب .....



Telah diriwayatkan oleh Shaikh al-Islam Abu al-Hassan al-Hakkari dan al-Hafiz Abu Muhammad al-Maqdisi dengan sanad mereka yang kepada Abi Thur dan Abi Shu‘aib…



Gelaran hebat yang dimaksudkan adalah “Shaikh al-Islam” bagi Abu Hassan al-Hakkari dan “al-Hafiz” bagi Abu Muhammad al-Maqdisi. Kedua-dua gelaran ini asalnya dikemukakan oleh al-Dzahabi dan ia memang merupakan gelaran yang lazim disandarkan kepada dua tokoh di atas.



Contohnya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H) ketika mengemukakan riwayat Abu al-Hassan al-Hakkari telah menyebut beliau sebagai:



‘Ali bin Ahmad, Shaikh al-Islam, Abu al-Hassan al-Hakkari.



Ini disebut oleh Ibn Hajar dalam kitabnya Lisan al-Mizan, jld. 4, ms. 195, perawi no: 519. Rujukan jilid dan mukasurat adalah sepertimana yang dirujuk sendiri oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 89 ketika mendha‘ifkan Abu al-Hassan. Justeru bagaimana mungkin beliau tidak sedar gelaran “Shaikh al-Islam” telah sedia diberi oleh Ibn Hajar sendiri ?



Kedua: Abu Muhammad al-Maqdisi, nama sebenarnya ialah ‘Abd al-Ghani bin ‘Abd al-Wahid bin ‘Ali, Taqi al-Din al-Hafiz Abu Muhammad al-Maqdisi. Biografi beliau disebut oleh al-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz (tahqiq: Zakaria ‘Amirath; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998), jld. 4, ms. 111, no: 1112. Nama beliau yang sebenar bukanlah Abu Muhammad al-Maqdisi sebagaimana yang didha‘ifkan oleh penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 89-90.



Aneh sungguh tindakan penyusun Salafiyah Wahabiyah menuduh al-Albani sebagai telah “menonjolkan perawi dengan gelaran yang hebat” apabila beliau sendiri telah menyebut gelaran “Shaikh al-Islam” bagi Abu Hassan al-Hakkari dan “al-Hafiz” bagi Abu Muhammad al-Maqdisi. Dalam Salafiyah Wahabiyah ms. 89 beliau menulis:



Di dalam riwayat ini terdapat dua orang perawi, iaitu Syeikh Islam Abu Hassan al-Hakkari dan al-Hafiz Abu Muhammad al-Maqdisi.



Ketiga:

Terhadap kritikan bahawa al-Albani “tidak mendedahkan latar belakang perawi”, maka wujud dua kemungkinan sebagai jawapan:

1.

al-Albani tidak menemui sumber rujukan yang tepat atau sanad yang lengkap bagi menilai hukum athar tersebut. Hal ini sebagaimana yang telah beliau terangkan di bahagian muqaddimah (ms. 20, no: 08) tentang manhaj yang digunakan dalam mentahqiq dan meringkaskan kitab al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar, di mana semampu mungkin beliau akan berusaha menghubungkan sesuatu athar kepada rujukan yang asal dan menyemak status sanadnya.
2.

al-Albani sedia mengetahui kelemahan atau perbincangan yang wujud dalam sanad athar tersebut. Akan tetapi sebahagian daripada manhaj beliau ialah bersikap toleran terhadap status sanad athar-athar yang dikemukakan oleh al-Dzahabi kerana ia pada asalnya bukanlah hujah melainkan merupakan pelengkap dan penjelas kepada apa yang pada asalnya didirikan oleh dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Manhaj ini beliau sebut di bahagian muqaddimah, ms. 20, no: 05.

Kemungkinan yang kedua adalah yang benar kerana apa yang diriwayatkan daripada al-Shafi‘i jelas memiliki dasar dan bukti daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kata-kata al-Shafi‘i sebagaimana salin penyusun Salafiyah Wahabiyah di ms. 88-89 adalah:



“Perkataan pada al-Sunnah yang menjadi pegangan aku, dan aku telah telah melihat para sahabatku yang terdiri daripada kalangan ulama’ hadith juga berpegang dengannya. Aku sempat bersama Sufyan, Malik dan selain daripada mereka berdua yang mengakui bahawa Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Allah S.W.T. itu berada di atas arasy di atas langit-Nya. Dia mendekati makhluk-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki. Dia turun ke langit dunia sebagaimana yang Dia kehendaki…”



Tiga sifat Allah yang disebut oleh al-Shafi‘i dapat dirujuk kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih:

[1] Allah berada Di Atas ‘Arasy Di Atas langit.

Ini sebagaimana firman Allah ‘Azza wa Jalla di dalam al-Qur’an surah Taha 20:05, al-Sajdah 32:04, al-Isra’ 17:42, Fatir 35:10, al-Fusilat 41:11, al-Mulk 67:16 dan al-Ma‘arij 70:3-4 yang telah dikemukakan beberapa mukasurat sebelum ini.



[2] Allah Mendekati makhluk-Nya sebagaimana yang Dia kehendaki.

Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. [Qaaf 50:16]



[3] Allah Turun ke langit dunia sebagaimana yang Dia kehendaki.

Ini sebagaimana hadis sahih Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam riwayat al-Bukhari, Muslim dan lain-lain seperti yang telah dikemukakan sebelum ini dalam PENILAIAN SEMULA NO 18, bermaksud:

“Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam……”



Jelas bahawa apa yang disebut al-Shafi‘i adalah benar dan berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Justeru sekalipun sanad athar ini memiliki perbincangan di dalamnya, namun matannya tetap benar sehingga tergolonglah athar ini secara keseluruhannya dalam kategori sahih.



[1] al-Risalah, ms. 7-8 (bhg muqaddimah).

[2] Lihat Kitab al-Umm, jld. 5, ms. 280 dan al-Risalah, ms. 75, riwayat no: 242.

[3] Al-Asma’ wa al-Sifat, ms. 517 (Bab Tentang firman Allah: al-Rahman Beristiwa’ di atas ‘‘Arasy).






@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Sedikit edit ejaan salah dari aku.

No comments:

Post a Comment